
GHAZALI TAIB (enam dari kiri) dan Ishamudin Hashim (lima dari kiri) bersama graduan dalam Majlis Konvokesyen KKYT Ke-5 di Kuala Terengganu, semalam.
KUALA TERENGGANU 28 Dis. – Seramai 139 graduan menerima diploma dan sijil masing-masing dalam Majlis Konvokesyen Kolej Kemahiran Yayasan Terengganu (KKYT) Ke-5 di Dewan Konvensyen Wisma Darul Iman, di sini hari ini.
Mereka terdiri daripada 80 graduan sijil Pegawai Latihan Vokasional (VTO) di samping 18 graduan Diploma Pentadbiran Sistem Komputer dan 41 graduan Diploma Pentadbiran Sistem Maklumat.
Penyampaian disempurnakan Pengerusi KKYT yang juga Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan Tugas-tugas Khas negeri, Ghazali Taib.
Yang turut hadir, Pengarah Yayasan Terengganu, Ishamudin Hashim dan Pengurus Pusat Bertauliah KKYT, Che Wan Normalia Che Wan Ngah.
Dalam majlis itu, tiga graduan menerima Anugerah Cemerlang KKYT iaitu Nurul Ain Nabilah Rosli (Diploma Pentadbiran Sistem Maklumat), Nurul Syafika Roslan (Diploma Pentadbiran Sistem Komputer) dan Mohammad Aiman Naim Mohd. Saidi (Sijil VTO).
“Saya ketepikan hasrat untuk menyambung pelajaran ke universiti awam berikutan kedua ibu bapa yang berniaga kecil-kecilan kurang sihat dan tidak berkemampuan.
“Jadi saya memilih untuk meneruskan pembelajaran di KKYT kerana banyak kelebihannya terutama dari segi kos yang tidak membebankan,” katanya.
Bekas pelajar Sekolah Menengah Sains Sultan Ahmad, Kuantan itu tetap berhasrat untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi kelak.
“Namun buat masa ini, saya ingin memohon pekerjaan sebagai pegawai kemahiran latihan di mana-mana institusi kemahiran di negeri ini agar tidak berjauhan dengan ibu bapa dan mudah menjenguk mereka,” katanya
Sumber: http://www.utusan.com.my/berita/wilayah/139-graduan-kkyt-terima-diploma-sijil-1.581085